Laman web pakej rangsangan ekonomi

KEMENTERIAN Kewangan melancarkan laman web pakej rangsangan ekonomi membolehkan orang ramai mendapat maklumat terbaru mengenai kedua-dua pakej rangsangan yang diumumkan, baru-baru ini.


Laman web di www.rangsanganekonomi.treasury.gov.my itu menyediakan pecahan peruntukan kementerian dan butiran lanjut mengenai setiap negeri.

“Laman web itu memperincikan pengagihan dan ke mana wang disalurkan untuk pakej pertama dan kedua serta pelaksanaan projek,” kata ketua pegawai eksekutif, unit pengurusan projek kementerian, Datuk Mohamad Othman Zainal Azim, pada majlis pelancaran di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, laman web itu turut menawarkan pecahan peruntukan berdasarkan kepada teras dan inisiatif strategik serta menyediakan wadah bagi mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam mesej ringkasnya di laman web itu berkata, “Rakyat Malaysia akan tahu dan boleh mengikuti pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang dibentuk bagi menangani isu ekonomi yang tercetus akibat kelembapan kewangan global.”

Menurut Mohamad Othman, laman web itu akan dikemas kini setiap minggu dan pertanyaan orang ramai akan dijawab.

Setakat ini, RM5.59 bilion diagih dan 23,543 projek bernilai RM1.75 bilion sedia untuk dilaksanakan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Biz Tweets